Surat terbuka untuk Murshidul Am Pas
ZULKIFLI SULONG
13 August 2014
Ke hadapan Tok Guru Nik Aziz yang disayangi.
Tok Guru,
Tok Guru yang dikasihi,
Tok Guru yang disayangi,
Tok Guru yang dikasihi,
ZULKIFLI SULONG
13 August 2014
Ke hadapan Tok Guru Nik Aziz yang disayangi.
Apa khabar Tok Guru? Semoga Tok Guru sentiasa tabah dalam menghadapi
penyakit yang dihidapi. Saya yakin, Tok Guru dikehendaki Allah untuk
terus hidup bagi menjadi penyelamat kepada parti dan jemaah yang Tok
Guru pimpin ini ketika ia sedang dilanda badai sekarang.
Tok Guru,
30 tahun lalu iaitu pada 1983, saya menjejak kaki ke Pejabat PAS
Kelantan untuk bertugas sepenuh masa dengan PAS. Ketika itu Tok Guru
adalah pesuruhjaya PAS Kelantan.
PAS keseorangan ketika itu Tok
Guru. Tidak ada kerjasama dengan mana-mana pihak. Sebagai pekerja muda
yang baru berusia 20 tahun, saya tinggal di bangunan PAS Kelantan di
Jalan Tok Pati. Setiap pagi Jumaat saya akan bersama-sama dengan
allahyarham Ustaz Bunyamin Yaakub mempersiapkan Dewan Zulkifli Muhamad
untuk Tok Guru mengajar.
Di situlah tempat bekerja dan di situlah
juga tempat saya tidur. Saya masih ingat lagi bagaimana saya terpaksa
makan mi segera selama dua hari ketika Kota Baru dilanda banjir pada
tahun itu. Tanyalah Hashim Omar tentang cerita ini.
Kuliah Tok
Guru ketika itu tidak ramai orang yang mendengarnya berbanding sekarang,
tetapi cukup untuk memenuhi Dewan Zulkifli. Kuliah Tok Guru semakin
ramai dari hari ke hari tetapi PAS hanyalah parti pembangkang yang
mempunyai Adun tidak seberapa orang ketika itu kerana PAS bersendirian
selepas ditendang keluar Barisan Nasional (BN). Tok Guru tentu lebih
faham bagaimana ia berlaku.
Husam Musa (kini datuk) adalah bos
saya ketika itu. Dia yang baru tamat pengajian dari Universiti Malaya
(UM) bertekad tidak mahu bekerja dengan kerajaan kerana mahu berkhidmat
sepenuh masa dengan jemaah. Husam pelajar yang cerdik masa di UM. Dia
juga adalah pemimpin pelajar. Husam adalah Setiausaha Penerbitan
Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM).
Bagi memastikan
beliau tidak dipaksa oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang
memberikannya biasiswa agar bekerja dengan kerajaan, Husam tidak pergi
ke peperiksaan akhir di UM Tok Guru. Akhirnya beliau hanya lulus dengan
gred yang rendah dan dibiarkan begitu saja oleh JPA tanpa menawarkan
tempat di mana-mana jabatan kerajaan.
Untuk membolehkan PAS
mempunyai media, kami terbitkan Gema Pemuda. Mula-mula kami edarkan di
Kelantan saja. Tanpa modal yang cukup tetapi dengan semangat tinggi,
kami usahakan projek ini untuk jemaah. Kami terbitkan seminggu sekali
dan edarkan di tempat kuliah Tok Guru. Apabila masuk keluaran ketiga,
kami mula edarkan di negeri lain iaitu Kedah dan Terengganu pula.
Begitulah susahnya PAS ketika itu. Tetapi kami sangat senang bekerja.
Tidak ada fitnah memfitnah dan serangan yang bukan-bukan kepada kami di
kalangan petugas PAS.
Pada 1990, menerusi kerjasama dengan
Semangat 46, kita berjaya merampas Kelantan. Semua kerusi DUN di
Kelantan berjaya kita menangi bersama dengan Semangat 46 pimpinan Tan
Sri Tengku Razaleigh Hamzah. Tok Guru dilantik sebagai menteri besar.
Alhamdulillah melalui kerjasama itu, kerajaan kita di Kelantan kekal
sehingga kini.
Kita berjaya menang besar lagi pada 1999 apabila
kita bekerjasama dengan Barisan Alternatif (BA) iaitu bersama dengan DAP
dan PKR. Bukan saja berjaya mengekalkan Kelantan, kita juga berjaya
merampas Terengganu. Kita berjaya menang atas sentimen masyarakat Melayu
terhadap penganiayaan yang dibuat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Presiden PAS Allahyarham Datuk Fadzil Mohd Nor menubuhkan Gerak ketika
itu dan membawa pelbagai pihak bersama dengan PAS melawan BN.
Namun apabila datang isu Dokumen Negara Islam, kita kalah teruk dalam
pilihan raya 2004 kerana, DAP mengambil sikap keluar BA selepas tidak
senang dengan kita.
Kita kehilangan Terengganu dan hampir
kehilangan Kelantan. Beza kita dengan BN hanya tiga kerusi saja di
Kelantan. Apabila pilihan raya kecil Pengkalan Pasir diadakan, kita
kalah dan menjadikan beza kita dengan BN hanya satu kerusi.
Di
era inilah Tok Guru banyak diuji. Pelbagai ujian datang Tok Guru. Yang
paling besar dan saya masih ingat adalah Tok Guru diuji dengan menantu
Tok Guru yang ketika itu menjadi ketua pegawai eksekutif Perbadanan
Menteri Besar Kelantan (PMBK). Pelbagai fitnah yang Tok Guru hadapi.
Ingat tak lagi bagaimana Husam pergi menangis di depan Tok Guru memohon
agar menantu Tok Guru itu ditamatkan perkhidmatannya? Akhirnya Tok Guru
bersetuju dengan pandangan Husam dan selamatlah Tok Guru daripada
fitnah itu.
Dengan pelbagai projek yang dibuat olehnya, kerajaan
Kelantan berjaya mengharungi zaman cemas apabila bermajoritikan satu
kerusi saja di Kelantan.
Akhirnya pada pilihan raya umum 2008, kita
menang besar di Kelantan dan juga Malaysia. Kita juga berjaya membentuk
kerajaan di Selangor, Kedah dan Pulau Pinang. Selepas itulah
terbentuknya Pakatan Rakyat (PR).
Melalui PR juga kita menang
besar dalam Pilihan Raya Umum 2013 lalu walaupun kita kehilangan Kedah
kerana perpecahan dalaman yang berlaku di dalam parti kita.
Tok Guru yang dikasihi,
Kini, buat pertama kalinya PR berada dalam suasana paling runcing
sekali. Ini ekoran krisis yang berlaku di Selangor apabila PKR tidak
berpuas hati dengan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Mereka memutuskan untuk menukar Khalid dengan Presiden PKR Datuk Seri
Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Namun, sebelum mesyuarat AJK PAS Pusat
yang akan memutuskan sikap kita, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi
Awang menyatakan sokongan terbuka kepada Khalid. Tok Guru juga
kemudiannya menyokong pendirian presiden itu. Majlis Syura Ulama yang
diketuai Tok Guru juga membuat keputusan yang sama, menyokong Khalid
kekal sebagai MB.
Namun sehari selepas mesyuarat itu, Tok Guru
dalam sidang media di Majlis Rumah Terbuka PAS Kawasan Kota Baru berkata
kepada media, Tok Guru hanya mempengerusikan mesyuarat itu setengah jam
saja kerana tidak sihat. Tok Guru juga kata, tidak berminat untuk
campur urusan MB Selangor itu dan biarlah orang Selangor menguruskannya.
Daripada kenyataan itu, saya terasa Tok Guru cuba untuk menjarakkan
diri Tok Guru dengan keputusan Majlis Syura itu. Apa sebabnya semua
orang tidak tahu. Mereka hanya boleh meneka-neka saja.
Saya beranggapan Tok Guru cuba menjadi orang tengah dengan tidak memihak ke mana-mana pihak yang sedang berbeza pendapat ini.
Tok Guru yang disayangi,
Sejak 10 tahun lalu, saya mula merasai kehadiran suasana yang tidak
sihat dalam parti dan jemaah kita. Ramai orang muda di kalangan kita
yang mudah sangat membuat tuduhan dan fitnah sesama kita, seolah-olah
nilai ukhuwah yang ditanam dalam setiap usrah dan tamrin yang kita lalui
dulu sudah tidak ada.
Sejak kebelakangan ini Tok Guru, perkara
ini semakin menjadi-jadi. Ada-ada saja tuduhan yang dilemparkan sesama
kita. Mereka yang paling banyak menjadi mangsa adalah pihak yang mahu
mempastikan PR yang kita dapat manafaat maksima daripadanya terus kekal
dan utuh.
Saya antara sasaran mereka kerana tugas saya adalah
menulis dan premis utama tulisan saya adalah mempertahankan kerjasama
yang kita bina melalui PR. Turut diserang adalah beberapa pemimpin PAS.
Mereka dituduh lebih wala' kepada pemimpin lain daripada pemimpin parti
kita sendiri. Padahal jika itu benar, baik mereka menyertai parti lain
bukan menyertai parti Islam PAS ini.
Ada antara kita yang mengeluarkan fatwa golongan yang mempertahankan PR ini sebagai Munafik Haraki.
Ada juga antara kita yang melancarkan Gerak 2 selepas Gerak yang
pertama dilancarkan allahyarham Fadzil dulu. Yang peliknya Tok Guru,
Ustaz Fadzil menarik seramai mungkin orang perseorangan dan pertubuhan
untuk bersama dengan kita dalam membela Anwar yang teraniaya, tetapi
Gerak 2 mempunyai tujuan yang lain.
Gerak 2 dilancarkan untuk
membela seorang individu yang kononnya teraniaya walaupun terpaksa
menghalau sekurang-kurang dua parti yang mempunyai pengikut puluhan ribu
yang selama ini berjuang bersama dengan kita.
Kita sekarang
dalam dilema Tok Guru. Antara membela seorang individu dengan membela
dua parti yang selama ini menjadi rakan kita berkempen untuk mendapatkan
mandat dari rakyat.
Tok Guru yang dikasihi,
Saya penuh
keyakinan, PAS mendapat manafaat maksima apabila kita bekerjasama dengan
pihak lain berbanding dengan kita bersendirian.
Lihatlah apa berlaku kepada kita di tahun 1980-an apabila kita bersendirian dan pada 2004 apabila pihak lain meninggalkan kita.
Bandingkan dengan apa yang kita dapat apabila kita bersama dengan
Semangat 46 pada 1990 dan apabila bersama Pakatan Rakyat pada 2008 dan
2013.
Kini Tok Guru, ada semacam satu kecenderungan kita hendak
diajak agar bersendirian semula. Semua keputusan, ucapan, tulisan
melalui media sosial dan sebagainya menjurus ke arah kita bersendirian.
Saya dengan rendah hati memohon Tok Guru agar campur tangan segera.
Jangan dibiarkan jemaah kita ini terpaksa berundur ke belakang iaitu
zaman 30 tahun lalu. Jika itu berlaku saya yakin, kita akan memerlukan
30 tahun lagi untuk membina semula jemaah kita ini untuk mencapai tahap
yang ada sekarang.
Sekian Tok Guru. Terima kasih kerana sudi
membaca coretan panjang saya ini. Saya sanggup bersengkang mata untuk
menulisnya kerana hanya Tok Guru harapan saya untuk menyelesaikan
kemelut ini. – 13 Ogos, 2014.