Kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.
LUBOK ANTU: Biarpun rumah panjang Iban di Lemanak, Engkilili di sini, hanya kira-kira 16 kilometer dari empangan Hidroelektrik Batang Ai, namun hanya 30 peratus daripada penduduknya menikmati bekalan elektrik.
Apa yang menjadi rungutan penduduk terbabit ialah empangan yang boleh menjana 100 megawatt bekalan elektrik itu sudah beroperasi sejak 23 tahun lalu, namun masih ramai penduduk berhampiran belum mendapat bekalan elektrik.
Penghulu Lemanak Hilir yang bertanggungjawab terhadap 48 rumah panjang, Batu Surai, 62, berkata kira-kira 70 peratus atau sekitar 3,000 penduduk belum menikmati kemudahan bekalan elektrik.
“Sudah sekian lama penduduk di sini memohon daripada kerajaan supaya dibekalkan bekalan elektrik, namun sehingga sekarang tiada tindakan diambil,” katanya kepada selepas penutupan Kempen Mencegah Kebakaran Rumah Panjang, di Rumah Serubah Ili, Lemanak, Engkilili, di sini anjuran kakitangan Sarawak Shell Berhad, baru-baru ini.
Beliau juga mendakwa bekalan elektrik dari empangan berkenaan disalurkan ke kawasan lain yang lebih jauh dan tidak ke kawasan penempatan penduduk berhampiran, dengan alasan kawasan kediaman mereka sukar untuk disediakan bekalan elektrik.
“Pelbagai alasan remeh-temeh juga diberikan oleh pihak berkuasa terbabit, termasuk tiada permohonan rasmi diterima daripada penduduk, pada hal sudah banyak kali kami memohon,” katanya.
Batu bimbang pembangkang akan mengambil kesempatan daripada masalah seperti itu untuk mempengaruhi penduduk dan penduduk yang berada dalam keadaan tertekan pastinya akan mudah terpengaruh.
“Kami mahukan jalan raya dan jambatan yang lebih baik, serta bekalan elektrik 24 jam, supaya anak-anak kami juga dapat menggunakan komputer dan internet untuk belajar,” katanya.
Pada masa sekarang, penduduk di situ terpaksa bergantung kepada generator yang menggunakan minyak dengan kos penyelenggaraannya agak tinggi serta kerap rosak.
Ketua Rumah Panjang Serubah Ili, Dimbah Awit, 42, pula berkata mereka sudah memohon mendapatkan bekalan elektrik dari empangan terbabit sejak 20 tahun yang lalu.
Source: found in one of the nasional news
No comments:
Post a Comment